Kekalkanlah kepercayaan kamu walaupun hanya tinggal secebis.
Ada masa kadangkala kita ini melihat diri kita tidak punya harapan. Pelbagai jenis tidak punya harapan yang mungkin kita hadapi. Lain manusia, lain tidak punya harapannya.
Ada orang merasakan, dirinya tidak punya harapan untuk menjadi baik, soleh, bertaqwa dan sebagainya. Setiap kali dia berusaha ke arah kebaikan,dia mesti jatuh. Ataupun, dia menyedari bahawa dia perlu jadi baik adalah apabila dia telah tenggelam dalam lautan kemasiatan, dan kemaksiatan itu telah menjadi darah dagingnya.
Ada orang lain pula, merasakan bahawa dirinya tidak punya harapan untuk bahagia. Dalam hidupnya hanya ada kesusahan. Dari kecil tidak difahami. Asyik dibenci walau telah mencuba yang terbaik. Sering gagal walau telah berusaha. Dan dalam apa jua kerjanya, tindakannya, perjalanan hidupnya, pasti ada dugaan dan cubaan yang membawa derita mengekorinya.
Dan ada macam-macam jenis lagi ‘perasaan tidak punya harapan’ yang wujud pada manusia.
Dan perasaan-perasaan ini biasanya membawa kita kepada ‘penutupan kepercayaan kita kepada Tuhan’. Kita rasa Tuhan tidak menyebelahi kita. Kita rasa Tuhan memang nak masukkan kita dalam neraka. Kita rasa Tuhan memang telah mentakdirkan kita dengan penderitaan. Kita rasa itu, dan kita rasa ini.
Tapi, ingatlah...Jangan pernah putus harapan...
Percayalah. Walaupun seperti menelan pasir peritnya. Bersabarlah. Walaupun seperti sedang berada di atas bara api penderitaannya. Dan walau apa pun yang terjadi, walaupun kita sudah terjatuh dalam gaung yang terdalam sekali dalam berputus asa kepada Tuhan, kekalkanlah walau secebis kepercayaan yang kita mampu.
Moga-moga daripada itulah, Tuhan akan keluarkan kita daripada segala penderitaan, daripada segala masalah, daripada segala mehnah dan tribulasi, daripada kesedihan, daripada maksiat, daripada kejatuhan, daripada keingkaran yang kita lakukan dan hadapi. |
0 comments:
Post a Comment